PH kurangkan program berskala besar, fokus pengundi atas pagar

PAKATAN Harapan (PH) memilih pendekatan turun padang secara bersemuka, termasuk mengadakan lawatan rumah ke rumah dan ceramah kelompok, bagi mendekati pengundi atas pagar terutama golongan muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Sabtu depan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pendekatan itu menjadi strategi utama PH berbanding menganjurkan program berskala besar.

Menurut beliau, kaedah itu membolehkan calon dan pemimpin PH mendengar sendiri pandangan rakyat di samping menjelaskan tawaran serta pencapaian kerajaan.

“Kita terus mendampingi rakyat dengan pendekatan secara langsung, termasuk mengadakan lawatan rumah ke rumah dan ceramah kelompok seperti ini.

“Bukannya majlis besar-besaran, tetapi pendekatan yang lebih dekat dengan rakyat. Kita cuba berkempen dengan cara yang mesra dan terus bersama rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas sesi minum petang di Sungai Rotan, Jelebu hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, PH akan terus berusaha meyakinkan pengundi atas pagar dengan mengetengahkan rekod prestasi calon dan kerajaan.

“Kita hanya boleh meyakinkan mereka melalui prestasi kerja. Pengundi atas pagar akan menilai prestasi seseorang calon dan juga prestasi kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa terdapat pihak yang memainkan sentimen tertentu di kawasan kampung, khususnya berkaitan dakwaan kononnya orang Melayu akan hilang kuasa sekiranya PH memenangi pilihan raya.

“Saya dengar sentimen dimainkan di kampung-kampung kononnya kalau PH menang, Melayu hilang kuasa. Ini sentimen yang mereka bisik-bisikkan kepada penduduk kampung.

“Saya jelaskan kepada penduduk Melayu bahawa perkara itu hanyalah mainan politik untuk mengugut dan menakut-nakutkan, kerana ia tidak mempunyai asas,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, persaingan dalam pilihan raya seharusnya berasaskan dasar, prestasi serta tawaran kepada rakyat, bukannya dengan memainkan sentimen yang boleh mengelirukan pengundi.

Beliau turut memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menghadiri majlis minum petang bersama penduduk di Simpang Durian pada Rabu depan sebagai suntikan semangat kepada jentera PH di DUN Chennah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img