DATUK Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Vietnam pada kejohanan Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri turut meluahkan rasa bangga atas semangat juang dan dorongan berterusan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia buat pasukan kebangsaan.
” Selamat maju jaya buat skuad Harimau Malaya dalam perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Vietnam.
“Berjuang dengan penuh semangat dan berikan yang terbaik demi lencana di dada. Rakyat Malaysia bersama kalian,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berharap agar skuad negara dapat pamerkan persembahan terbaik dan memuktamadkan kemenangan dalam tempoh masa sebenar tanpa perlu diheret ke masa tambahan.
Skuad Harimau Malaya sebelum ini hampir melayakkan diri ke pentas perlawanan akhir selepas mempamerkan aksi cukup bertenaga menewaskan Singapura 6-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Namun, impian tersebut dinafikan oleh perbezaan jaringan gol selepas Indonesia mencatatkan kemenangan besar 9-2 ke atas Bangladesh, sekali gus membolehkan skuad Garuda melangkah ke final.
Meskipun terlepas slot ke perlawanan akhir, persembahan cemerlang barisan pemain negara tetap mendapat pujian ramai dan sokongan padu rakyat dijangka terus mengiringi perjuangan Harimau Malaya dalam memburu tempat ketiga kejohanan tersebut.





