Percutian 8 sahabat mandi di jeram, seorang maut dihanyutkan arus deras

SEORANG lelaki ditemukan mati lemas pagi ini selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Jeram Air Leleh, Bukit Ibam, Kuantan, semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mayat Muhammad Azreen Othman, 25, ditemukan pada jam 8.50 pagi di kedalaman 12 meter, kira-kira enam meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Katanya, mangsa bersama lapan rakannya termasuk lima wanita tiba di jeram berkenaan untuk berkelah dan mandi pada jam 2 petang semalam.

“Setengah jam kemudian, mangsa bersama rakan turun ke jeram untuk mandi. Ketika rakan lain naik untuk makan, mangsa dikatakan terus berada dalam air.

“Pada jam 4.30 petang, mangsa dikatakan terjatuh dan dihanyutkan arus ketika bergayut pada tali yang diikat antara pokok melintasi anak sungai.

“Rakan mangsa sempat mencapai tangan mangsa tetapi terlepas dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana arus deras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharif berkata, susulan kejadian itu, seramai 15 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah, Pekan dan Kuantan menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Katanya, operasi turut membabitkan dua penyelam daripada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Pekan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here