POLIS menyiasat pergaduhan membabitkan tujuh kanak-kanak berusia lapan hingga 13 tahun selepas rakaman video kejadian berdurasi 44 saat tular di Facebook.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung rakaman yang memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa kanak-kanak lelaki dan perempuan.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang Rabu lalu di kawasan tanah lapang di hadapan rumah seorang daripada kanak-kanak terbabit di Tudan Desaras Fasa 6, Miri.
“Polis sudah mengesan semua individu dalam video itu membabitkan tujuh kanak-kanak berusia lapan hingga 13 tahun.
“Kesemua mereka adalah rakan dan sering bermain bersama,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus selepas mangsa dipercayai mengejek seorang daripada kanak-kanak terbabit dengan kata-kata kesat sehingga menyebabkan rakannya tidak berpuas hati.
“Mangsa kemudian ditendang dan ditolak oleh kanak-kanak lain dalam kejadian itu.
“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.





