Polis tahan sembilan individu kes pergaduhan di Lukut

POLIS menahan sembilan individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di Lukut, Port Dickson yang mengakibatkan empat mangsa cedera termasuk seorang kanak-kanak dalam kejadian Sabtu lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan di sekitar daerah Port Dickson.

Beliau berkata, dua suspek pertama ditahan dalam tempoh 24 jam selepas kejadian, diikuti penahanan seorang lagi suspek berhampiran lokasi kejadian pada keesokan harinya.

“Hari berikutnya, seramai enam lagi suspek telah ditahan, manakala seorang lagi suspek masih diburu bagi membantu siasatan.

“Sebahagian daripada suspek yang ditahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pasukan Tindak Balas Bencana Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini.

Sebelum ini, tular satu video memaparkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang bergaduh di kawasan deretan kedai di Lukut.

Turut tular adalah gambar seorang lelaki berlumuran darah dipercayai akibat ditetak dengan parang.

Mengulas mengenai keadaan mangsa, Alzafny memaklumkan bahawa empat individu mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut, termasuk seorang lelaki yang dilaporkan cedera parah akibat diserang dan kini menerima rawatan rapi.

“Seorang kanak-kanak yang turut cedera sedang dirawat di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kanak-kanak itu merupakan anak kepada salah seorang mangsa,” katanya.

Menurut beliau, kesemua mangsa bukan daripada satu keluarga namun saling mengenali dan berada berhampiran lokasi kejadian untuk makan.

Bagaimanapun, katanya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326/427 Kanun Keseksaan.

Alzafny dalam pada itu turut memaklumkan satu lagi kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki dan seorang wanita berlaku berhampiran sebuah pasar raya di Nilai pada Ahad lalu.

“Kejadian itu berlaku sekitar jam 1 pagi dan kesemua individu berusia dalam lingkungan 20-an yang terlibat telah ditahan dalam tempoh 24 jam.

“Siasatan awal mendapati kejadian pergaduhan berpunca apabila sepasang kekasih yang berada di lokasi telah diganggu oleh beberapa suspek yang berada dalam keadaan mabuk,” katanya.

Tambahnya, pergaduhan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan penggunaan senjata tajam, sebaliknya hanya menggunakan kerusi.

Tambah beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img