POLIS menerima tiga laporan berkaitan kejadian struktur patung di sebuah rumah ibadat bukan Islam di Bukit Tinggi, Bentong, yang dipercayai dirosakkan semalam.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, ketiga-tiga laporan itu dibuat oleh seorang pengawal keselamatan lelaki berusia 49 tahun, seorang sami lelaki berusia 45 tahun dan seorang lelaki berusia 41 tahun.
“Pihak polis telah ke tempat kejadian dan siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan kuil, serta tiada saksi bebas yang melihat kejadian tersebut berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis memandang serius kejadian itu dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca serta pihak yang terlibat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Azry Akmar turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat, khususnya melalui media sosial, yang boleh menjejaskan siasatan atau menimbulkan kegusaran awam.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini hendaklah disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.





