PERSAINGAN sengit bagi kerusi panas Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas, Datuk Dr Aliakbar Gulasan mungkin mampu memenangi kerusi tersebut kerana beliau sedang mendahului dalam keputusan tidak rasmi setakat ini.
Timbalan PN Sabah itu meraih 92 undi memberi kelebihan awal berbanding calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Arshad Idris yang memperoleh 63 undi setakat ini.
Calon Warisan, Ahmad Jais Otong pula mengutip 47 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yaakubah Khan yang sebelum ini pernah mewakili kawasan tersebut menerima 26 undi.
Tiga calon lain masing-masing mencatat satu undi, iaitu Azman Fathil (GAS), Adis Jalie (PIS) dan Ajis @ Hates Abdul (SPP), manakala, empat lagi calon iaitu Mohd Yunus Ibrahim (PBK), Matkri Kassim (PKS), Stephen Teo (STARSabah) serta Raynold Saikam Salinggou (Perpaduan) masih belum memperoleh sebarang undi.
DUN Karambunai menyaksikan pertembungan 11 penjuru mempunyai 39,247 pengundi berdaftar, dengan 231 undi direkodkan setakat laporan ini dikeluarkan.
Bagaimanapun bagi PN, daripada 42 kerusi yang ditandingi, gabungan itu tewas di 33 kerusi setakat ini. Ini termasuk Sugut, di mana Pengerusi PN Sabah, Ronald Kiandee, tewas kepada James Ratib dari GRS.
Keputusan bagi sembilan lagi kerusi yang mereka tandingi masih dalam proses pengiraan termasuk DUN Karambunai.


