PROJEK Taman Solar Helios di Gua Musang, Kelantan bernilai kurang RM3 billion disasarkan mula menjana tenaga komersial pada akhir 2028 dengan kapasiti keseluruhan mencapai 1,000 megawatt (MW).
Ketua Pegawai Operasi Helios Solar AG, Datuk Dr Zuraidi Ishak berkata, projek berkenaan akan dibangunkan dalam dua fasa dengan setiap fasa mempunyai kapasiti 500 MW.
Katanya, projek itu turut dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 1,600 MW bagi menyokong kestabilan bekalan tenaga.
“Projek ini berada di lokasi strategik dengan kemudahan dua pencawang berkapasiti 275 kilovolt-ampere (kVA) serta sokongan tanah seluas 3,000 ekar.
“Kita menyasarkan penjanaan tenaga komersial bagi fasa pertama dapat beroperasi menjelang akhir 2028 untuk mengejar insentif yang ditetapkan,” katanya pada sidang media majlis menandatangani perjanjian Projek Taman Solar Helios Kelantan, hari ini.
Mengulas pelantikan rakan strategik, Zuraidi berkata, kerjasama teknikal lengkap dibentuk bagi memastikan pembangunan projek berkenaan berjalan mengikut jadual.
Katanya, AHA Consultant dilantik sebagai perunding kejuruteraan utama dan voltan tinggi, manakala Angkasa Consulting Services mengendalikan kerja struktur sivil, mekanikal serta elektrikal.
“Total Power Solutions pula dilantik menjalankan kajian sistem kuasa, manakala TNB Research Sdn Bhd (TNBR) mengetuai penilaian impak alam sekitar dan sosial (EIA),” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Helios Photovoltaic Sdn Bhd, Datuk Ong Thuan Ming berkata, pihaknya yakin terhadap pasaran dan ketersediaan dana bagi merealisasikan projek berkenaan susulan permintaan tinggi daripada sektor pusat data.
“Projek ini menerima banyak pertanyaan daripada pusat data yang memerlukan jumlah tenaga yang sangat besar. Langkah ini tepat pada masanya untuk memenuhi keperluan mereka.
“Dari segi pembiayaan, nilai pelaburan adalah di bawah RM3 bilion dan kami berada di landasan betul untuk menerbitkan sukuk bernilai RM2 bilion dalam masa terdekat,” katanya.
Tambah beliau, syarikat berkenaan yang baru disenaraikan di Bursa Saham Frankfurt kini berada dalam kedudukan tanpa hutang, sekali gus memberi ruang untuk meneroka pelbagai instrumen pembiayaan bagi merealisasikan projek itu.





