Tambang KLIA Ekspres, Transit naik RM10 kepada RM65 mulai 1 Januari 2027

PENGGUNA KLIA Ekspres dan KLIA Transit perlu membayar tambang lebih tinggi bagi perjalanan antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang apabila kadar tambang baharu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027.

Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dalam kenyataan memaklumkan, tambang standard sehala bagi penumpang dewasa antara KL Sentral dan KLIA Terminal 1 serta Terminal 2 akan dinaikkan RM10 daripada RM55 kepada RM65.

Menurut ERL, tambang bagi sektor perjalanan lain turut akan diselaraskan sewajarnya.

“Pelarasan itu dibuat selepas 11 tahun, dengan kali terakhir tambang diselaraskan pada 2016 susulan peningkatan ketara kos operasi dan penyelenggaraan,” menurut kenyataan itu hari ini.

ERL berkata, pelarasan berkenaan adalah selaras dengan Perjanjian Konsesi ERL dengan kerajaan selain bagi menyokong usaha syarikat mengekalkan perkhidmatan rel yang boleh dipercayai, cekap dan berkualiti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Datin Noormah Mohd Noor berkata, pelarasan tambang tersebut mencerminkan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan bagi memastikan perkhidmatan rel lapangan terbang terus berada pada tahap tinggi.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan ERL kekal berupaya memenuhi keperluan penumpang untuk jangka panjang.

“Selama bertahun-tahun, KLIA Ekspres dan KLIA Transit terus menyediakan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan selesa di samping berdepan peningkatan kos operasi.

“Pelarasan tambang ini akan menyokong usaha kami untuk mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi serta melabur dalam penambahbaikan bagi meningkatkan pengalaman penumpang.

“Ia selaras dengan komitmen kami menyediakan hubungan paling pantas dan boleh dipercayai antara KL Sentral dan KLIA,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here