Turkiye tolak dakwaan 10,000 pelarian Rohingya ditempatkan semula di negara itu

TURKIYE secara terbuka menolak pengumuman Malaysia yang menyatakan 10,000 pelarian Rohingya akan ditempatkan semula di negara itu.

Dalam kenyataan ringkas yang disiarkan di X malam tadi, Turkiye menyifatkan laporan mengenai rancangan berkenaan sebagai “tidak berasas”.

“Dakwaan dalam beberapa media berita dan penyiaran antarabangsa serta akaun media sosial yang menyatakan 10,000 Rohingya akan ditempatkan semula di Turkiye tidak berasas. Orang ramai diseru supaya tidak mempercayai kandungan yang tidak benar,” kata Pusat Memerangi Disinformasi (DMM), Direktorat Komunikasi Turkiye.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada kenyataan Jumaat lalu berkata kerajaan Malaysia dan Turkiye bersetuju menempatkan semula 10,000 pelarian Rohingya di Turkiye menerusi program latihan kemahiran berstruktur.

Beliau berkata cadangan itu menyusuli lawatan kerja rasminya ke republik berkenaan baru-baru ini, dan latihan akan berlangsung selama tiga hingga enam bulan, dengan tumpuan pada kemahiran yang sepadan dengan keperluan industri Turkiye.

Bagaimanapun, kira-kira sejam kemudian, kenyataan itu dipadam daripada akaun media sosialnya tanpa sebarang penjelasan.

Susulan pemadaman mengejut itu, Putrajaya digesa menjelaskan sama ada kerajaan Turkiye benar-benar bersetuju menerima pelarian Rohingya dari Malaysia.

Bagaimanapun, lewat malam tadi, Setiausaha Akhbar Zahid, Shuhaimi Mohamed, menegaskan rancangan itu masih diusahakan dan memberi jaminan perkembangan lanjut akan dimaklumkan.

“Kenyataan terdahulu dikeluarkan kerana kami sememangnya sedang mengusahakan inisiatif ini, yang pada akhirnya demi kepentingan terbaik negara dan rakyat kita.

“Bagaimanapun, beberapa perkara masih memerlukan penjelasan lanjut dan penyelarasan dengan pihak berkaitan. Kami kekal komited untuk meneruskan pengaturan yang dicadangkan ini, dan pengumuman lanjut akan dibuat selepas proses yang diperlukan selesai,” katanya.

Susulan pengumuman Ahmad Zahid pada 20 Nov, perkhidmatan bahasa Turki Euronews mempersoalkan sama ada perjanjian sudah dimuktamadkan, dengan mengetengahkan beberapa persoalan yang belum terjawab, termasuk pihak yang akan membiayai program itu, lokasi latihan dan sama ada peserta dibenarkan menetap secara tetap di Turkiye.

Kenyataan Zahid dibuat sehari selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap Rohingya di utara negeri Rakhine ketika operasi ketenteraannya pada 2017.

Bagaimanapun, Myanmar dilaporkan menyifatkan keputusan itu sebagai “tidak adil” dan “tidak sebulat suara”, manakala jurucakap presiden Khaing Khaing Soe menegaskan operasi ketenteraan berkenaan menyasarkan pemberontak dan bukannya orang awam.

Dalam keputusannya, ICJ mengarahkan Myanmar memberikan pampasan kepada mangsa dan mengambil langkah untuk mencegah pelanggaran lanjut.

Gambia memfailkan kes berkenaan pada 11 November 2019 dengan sokongan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Malaysia menurut Mekanisme Penyiasatan Bebas untuk Myanmar (IIMM) di bawah PBB.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here