Remaja perempuan 14 tahun antara 372 ditahan dalam Op Tapis Khas di Perak

SEORANG remaja perempuan berusia 14 tahun antara 372 individu yang ditahan dalam Op Tapis Khas Kontinjen Perak selama tiga hari bermula 23 November lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, operasi secara serentak di seluruh negeri itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

DATUK Mohd Alwi Zainal Abidin

Menurutnya, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada lokasi yang dikenal pasti menjadi sarang penagihan dadah termasuk kawasan skim Felda, Felcra, ladang swasta, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), rumah pangsa serta jeti nelayan.

“Daripada keseluruhan tangkapan, 356 individu merupakan lelaki manakala 16 lagi wanita berusia antara 14 hingga 70 tahun.

“Tangkapan turut melibatkan 33 warga asing masing-masing warga Thailand, Indonesia, Myanmar dan Vietnam,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 66 individu ditahan kerana disyaki mengedar dadah, 206 kerana memiliki dadah manakala 100 lagi penagih disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, operasi itu turut berjaya menahan tiga individu yang dikategorikan sebagai orang dikehendaki.

“Kita juga mengenal pasti dua penagih dadah tegar yang akan diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam operasi sama, polis merampas pelbagai jenis dadah dengan anggaran nilai RM49,648.30.

Rampasan itu termasuk 288.61 gram ganja, 251.95 gram syabu, 212.98 gram heroin, 17.74 gram ketamin dan 7.46 gram pil Erimin 5.

Turut dirampas adalah 2.3 kilogram daun ketum, 126.10 liter cecair ketum serta 0.18 liter kodien.

“Selain itu, sebuah kenderaan dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM4,700 turut disita,” katanya.

Operasi berkenaan membabitkan 248 pegawai dan anggota polis termasuk 25 pegawai kanan serta 223 pegawai rendah polis daripada JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), balai polis dan Pasukan Gerakan Marin.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here