ANALISIS
SEJAK awal lagi penulis sudah menjangkakan bahawa Menteri Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden Pas walaupun dicalonkan.
Ia bukan kali pertama beliau berbuat demikian. Dalam dua pemilihan sebelum ini iaitu pada tahun 2021 dan 2023 demikianlah pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri tersebut.
Keputusan Sanusi sekaligus memberi laluan kepada tiga Naib Presiden sedia ada iaitu Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhar, Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Idris Ahmad dan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah mengekalkan kedudukan masing-masing.
Tidak dapat dinafikan jika Sanusi menyertai persaingan tersebut beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas mampu memenanginya salah satu slot bagi kerusi Naib Presiden.
‘’Sanusi boleh menang jika beliau bertanding sebab beliau bukan sahaja popular malah menjalankan tugas dengan baik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas. Muktamar kali ini diadakan di Kedah akan turut beri kelebihan kerana tak mungkin perwakilan akan membuat keputusan yang memalukan Sanusi,’’ kata sumber parti itu kepada penulis.
Bagaimanapun Sanusi memilih kekalkan politik damai dalam pemilihan Pas apabila menarik diri bagi jawatan Naib Presiden. Beliau hanya akan mempertahankan kedudukan sebagai AJK Pas Pusat yang dimenangi beliau dengan undian tertinggi iaitu 1,098 undi pada 2023.
“Siapa yang sudah biasa duduk situ dan buat kerja dengan baik, teruskanlah. Dalam Pas tak ada persaingan atau perebutan apa. Sikap saya pun sama, tak akan bersaing dengan sesiapa. Terus terang, tak ada yang tersembunyi dan tak ada yang tersirat,” katanya kepada wartawan pada Khamis lalu.
Bagi musuh-musuh politik beliau, sudah tentu mereka akan mengatakan Sanusi takut kalah jika bertanding jawatan Naib Presiden, kalau itulah andaiannya ternyata orang yang berkata demikian ‘jahil’ memahami politik Pas.
Pas bukan parti untuk memburu jawatan apatah lagi mencari kedudukan kerana parti tersebut adalah sebuah parti perjuangan. Walaupun Pas adalah parti politik dan turut mencari kuasa dalam pilihan raya tetapi ia tidak sampai berlaku perebutan jawatan dalam pemilihan sehingga politik wang bermaharajalela atau berlakunya perbuatan sabotaj jika tidak dipilih sebagai calon pilihan raya.
Bagaimanapun penulis lebih melihat bahawa musuh politik Sanusi amat mengharapkan beliau bertanding dan kalah kerana ia menjadi modal terbesar untuk mereka menghancurkan populariti dan meruntuhkan kepimpinan beliau di Kedah…kasihan sekali kerana mereka terpaksa terus bermimpi keadaan itu.


