Tata kelola penting dalam pembangunan, kegiatan koperasi dalam negara – PM

ASPEK tata kelola perlu menjadi teras penting dalam pembangunan dan kegiatan koperasi bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurusan yang baik mampu meningkatkan prestasi koperasi  justeru, aspek seperti tata kelola dan pengagihan kuasa yang berkesan serta usaha membanteras rasuah tidak boleh dipandang ringan.

“Koperasi dalam negara, kalau diurus dengan baik, prestasinya baik. Sebab itu soal (membanteras) rasuah, pengagihan kuasa bagi kerajaan penting walaupun ramai yang pandang ringan atau enteng. Kadang-kadang kita ada percanggahan dalam dan luar kerajaan mengenai soal ini.

“Kalau tidak dibetulkan, wang yang diperoleh banyak sekali pun, tidak akan memberikan manfaat kepada orang ramai, (tapi) hanya (menguntungkan) kelompok yang sama, yang kecil. Itu sebab tatakelola penting,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya) Kali Ke-10 di Putrajaya hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Koprojaya, Saiful Azhar Shaharun serta lebih 1,200 anggota koperasi.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Koprojaya atas kejayaan mengamalkan tata kelola baik sehingga mampu mencatatkan prestasi memberangsangkan untuk dicontohi gerakan koperasi lain.

“Ini contoh koperasi diurus dengan baik dan tertib. Saya check (semak), Koprojaya antara koperasi yang dipimpin dan diurus dengan tata kelola yang sangat baik dan tahniah saya ucapkan,” kata beliau.

Ditubuhkan secara rasmi pada 21 Jun 2013 di bawah Akta Koperasi 1993, Koprojaya berkembang menjadi sebuah koperasi berimpak tinggi dengan 2,365 anggota aktif, jumlah aset menjangkau RM17.93 juta dan rangkaian perniagaan merentasi 13 lokasi aktif di seluruh Malaysia.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img