Scam: Bukan mangsa kurang bijak tetapi psikologi manusia boleh dimanipulasi

LAPORAN KHAS

KES penipuan atau scam yang semakin berleluasa bukan berpunca daripada kecuaian mangsa semata-mata, sebaliknya didorong oleh manipulasi psikologi yang mengeksploitasi emosi, tekanan serta cara otak manusia membuat keputusan.

Pengarah Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling, Dr. Zulfikar Ahmad berkata, penipuan bukanlah fenomena baharu kerana ia wujud sejak sekian lama dalam pelbagai era, namun medium dan mekanisme yang digunakan semakin canggih seiring perkembangan teknologi.

Dr. Zulfikar Ahmad

“Scam ini pada asasnya adalah manusia menipu manusia bagi mendapatkan keuntungan. Ia berlaku merentas generasi, cuma yang membezakan adalah medium dan tools (alat) yang digunakan. Hari ini, pendekatan penipuan semakin menampakkan seolah-olah real (benar), apatah lagi dengan penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Grafik : Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM

“Scammer ini bukan tidak pandai, malah cerdik dalam memanipulasi psikologi mangsa. Mereka menggunakan elemen ancaman, peluang dan kelekaan serta memanfaatkan teknologi sebagai senjata untuk memerangkap sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang atau tahap pendidikan,” katanya ketika dihubungi utusanmelayuplus.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai peningkatan kes penipuan dalam talian yang melibatkan pelbagai modus operandi termasuk penyamaran sebagai agensi keselamatan, institusi kewangan, syarikat penghantaran dan skim pelaburan palsu.

Sementara itu, Profesor Psikologi dan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM),

Prof. Dr. Siti Aisyah Panatik

berkata, salah satu faktor utama mangsa mudah terperdaya ialah kecenderungan manusia merasakan diri mereka kebal daripada risiko, walaupun sering terdedah kepada amaran penipuan.

“Fenomena ini dikenali sebagai illusion of invulnerability, iaitu kepercayaan bahawa perkara buruk lebih mudah berlaku kepada orang lain berbanding diri sendiri. Ironinya, individu yang merasakan diri mereka berpengetahuan sering kali lebih terdedah kerana kurang berhati-hati dan terlalu yakin dengan pertimbangan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Aisyah berkata, golongan profesional dan berpendidikan tinggi juga tidak terkecuali menjadi mangsa, terutamanya dalam skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan tinggi.

“Antara faktor utama ialah keyakinan berlebihan terhadap kebolehan sendiri atau overconfidence bias, selain kecenderungan mencari maklumat yang mengesahkan kepercayaan sedia ada (confirmation bias), serta ilusi mampu mengawal risiko,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan dokumen profesional palsu, logo institusi, testimoni rekaan dan naratif peluang eksklusif turut mencetuskan persepsi kredibiliti yang mengurangkan pemikiran kritikal mangsa.

“Scam skim pelaburan palsu berjaya bukan kerana mangsa kurang bijak, tetapi kerana psikologi manusia termasuk golongan profesional boleh dimanipulasi secara sistematik,” ujarnya.

Mengulas dakwaan kononnya mangsa ‘dipukau’, beliau menegaskan tiada unsur mistik dalam kes penipuan, sebaliknya ia melibatkan manipulasi emosi intensif yang mencetuskan tindak balas stres.

“Apabila emosi berada pada tahap tinggi, kebolehan berfikir secara rasional menjadi rendah. Otak akan mencari cara paling cepat untuk mengurangkan ketakutan dan mematuhi arahan scammer dilihat sebagai jalan keluar,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img