LAPORAN KHAS
KES jenayah penipuan dalam talian atau scam di negara ini terus menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila jumlah kerugian direkodkan mencecah lebih RM2 bilion bagi tempoh Januari hingga November 2025.
Berdasarkan statistik yang dikongsikan menerusi Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), sebanyak 67,735 kes jenayah dalam talian direkodkan sepanjang tempoh berkenaan melibatkan pelbagai bentuk penipuan yang semakin licik dan sukar dikesan.

Menurut statistik itu sebanyak 28,698 kes jenayah telekomunikasi direkodkan di seluruh negara, sekali gus menjadi kategori tertinggi dalam jenayah penipuan dalam talian.
Dari segi statistik mangsa kes jenayah telekomunikasi, golongan berusia antara 21 hingga 30 tahun mencatatkan jumlah tertinggi dengan 8,789 mangsa, diikuti kumpulan umur 31 hingga 40 tahun seramai 6,825 orang serta 41 hingga 50 tahun seramai 4,977 mangsa.
“Kes penipuan pelaburan tidak wujud turut menjadi antara penyumbang utama kerugian kewangan apabila mencatatkan 9,296 kes dengan jumlah kerugian melebihi RM1.3 bilion.
“Statistik menunjukkan kes penipuan pelaburan meningkat sebanyak 66 peratus berbanding tahun 2024, manakala jumlah kerugian melonjak sehingga 85 peratus.
“Selain itu, jenayah e-dagang merekodkan sebanyak 14,881 kes, diikuti 8,029 kes pinjaman tidak wujud, 5,853 kes jenayah e-kewangan serta 978 kes love scam,” katanya menerusi hantaran Facebook tersebut.
Menurut JSJK, penipuan tawaran pekerjaan turut mencatatkan 8,911 kes sepanjang tahun lalu dengan aplikasi WhatsApp dikenal pasti sebagai medium utama digunakan sindiket penipuan.
“Trend peningkatan jenayah siber ini amat membimbangkan dan memberi kesan kepada semua lapisan umur, justeru orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan,” katanya.


