Stesen Shell habis petrol: KPDN minta orang tidak panik, bekalan bahan api negara masih stabil

KEMENTERIAN  Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan kepada orang awam bekalan bahan api negara mencukupi selepas beberapa stesen Shell kehabisan petrol RON95 dan diesel.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr.  Fuziah Salleh, berkata terdapat peningkatan permintaan di beberapa lokasi yang menyebabkan gangguan bekalan sementara di segelintir stesen minyak.

“Kerajaan melalui KPDN bersama pihak industri sedang memantau situasi ini secara rapi dan langkah pemulihan bekalan sedang dilaksanakan dengan segera.

“Saya ingin menegaskan bahawa kedudukan bekalan bahan api negara masih stabil dan mencukupi. Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya tidak panik dan meneruskan pembelian seperti biasa,” katanya dalam catatan di Facebook.

Fuziah berkata, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan keadaan kekal terkawal.

Shell Malaysia dilaporkan mengalami gangguan di beberapa stesen di Semenanjung disebabkan kelewatan penghantaran RON95 dan diesel.

Pada Khamis, syarikat itu menyatakan berlaku lonjakan permintaan sekali gus menyebabkan kekurangan bahan api di beberapa stesen, namun pihaknya sedang berusaha memulihkan bekalan bahan api dalam rangkaian runcitnya.

Harga subsidi RON95 kekal pada RM1.99 seliter di bawah skim BUDI95, meskipun terdapat lonjakan harga minyak kesan perang Iran.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img