SpaceX sumbang 50 kit Starlink kepada Malaysia

SYARIKAT aeroangkasa dari Amerika Syarikat, SpaceX hari ini menyumbangkan 50 kit Starlink kepada Malaysia bagi menyokong kesiapsiagaan bencana negara.

Ketika memaklumkan perkara itu melalui Fadebook beliau,  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,  sumbangan  disampaikan ketika delegasi SpaceX mengadakan kunjungan hormat ke atas beliau di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, yang turut dihadiri Menteri Komunikasi  Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, pertemuan itu antara lain membincangkan usaha memperkukuh kerjasama strategik melalui Starlink, iaitu perkhidmatan Internet satelit kendalian SpaceX dengan tumpuan khusus kepada usaha meluaskan capaian rangkaian kepada penduduk di kawasan pedalaman.

“Saya menghargai peranan Starlink dalam menyokong usaha kerajaan meluaskan liputan dan meningkatkan mutu capaian Internet menerusi Jalinan Digital Negara, termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta penempatan Orang Asli di Semenanjung.

“Saya turut menyambut baik pengoperasian infrastruktur Titik Kehadiran (PoP) Starlink di Cyberjaya bagi melancarkan trafik data tempatan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kemajuan teknologi perlu membawa manfaat nyata kepada rakyat selain aspek keselamatan siber, perlindungan data dan penggunaan secara selamat terus diberikan keutamaan seiring peluasan capaian Internet.

“Kita mahu memastikan masyarakat di pedalaman turut menikmati capaian Internet yang berkualiti dan selamat agar mereka tidak tercicir daripada arus kemajuan negara,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here