SPRM bangunkan sistem canggih tangani kebocoran maklumat perolehan kerajaan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mempersiapkan satu sistem canggih yang mampu mencegah kebocoran maklumat membabitkan perolehan kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sistem tersebut dijangka akan beroperasi dalam tempoh terdekat dan memberi akses percuma kepada mana-mana agensi kerajaan yang mahu mengguna pakai ia kelak.

Menurut beliau, kecanggihan sistem itu juga sudah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila ia berjaya mendapat tempat keempat dalam satu pertandingan yang diadakan di Hong Kong tahun lalu.

“Kebanyakan kes SPRM membabitkan perolehan kerajaan adalah disebabkan ada unsur-unsur yang melanggar garis panduan yang diberikan dan diharapkan sistem ini dapat membantu menangani masalah yang dihadapi.

“Sistem ini akan diberikan secara percuma kepada mana-mana agensi kerajaan yang ingin mengguna pakai sistem ini apabila ia siap dibangunkan sepenuhnya kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azam sebelum itu menghadiri Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM dan Kementerian Kerja Raya (KKR) di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.

Mengenai nota kerjasama yang diterajui oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu, Azam berkata, ia adalah manifestasi iltizam berterusan antara SPRM dan KKR dalam memperkukuh integriti, meningkatkan tatakelola serta membanteras rasuah dan salah guna kuasa secara lebih strategik, bersepadu dan konsisten.

“SPRM akan terus komited menjadi rakan strategik kepada kementerian dan agensi kerajaan dalam memastikan setiap projek pembangunan negara dilaksanakan dengan penuh amanah, ketelusan dan berakauntabiliti.

“Malah, kerjasama antara SPRM dan KKR juga sudah bermula sejak 2013 melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan kemudian diperkukuh dengan Nota Kerjasama pada 2022,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img