SPRM mahu Unit Integriti agensi awam lebih proaktif cegah rasuah

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan kepentingan Unit Integriti (UI) di setiap agensi awam bertindak lebih proaktif dalam mengesan kelemahan prosedur, mengurus aduan dan melaksanakan langkah pencegahan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan integriti serta akauntabiliti organisasi sektor awam terus terpelihara.

Beliau berkata, pelaksanaan enam fungsi teras Unit Integriti perlu diselaraskan mengikut keperluan dan tahap risiko setiap agensi bagi memastikan keberkesanannya.

Enam fungsi berkenaan merangkumi tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan, pematuhan serta tatatertib.

“Dapatan aduan dan pengesanan perlu dimanfaatkan untuk mengenal pasti kelemahan kawalan, seterusnya menentukan penambahbaikan prosedur serta tindakan pencegahan yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Ketua Unit Integriti (KUI) Agensi Awam Siri 9 Bil. 1 Tahun 2026 di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, Lim Bee Kean dan Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM, Nur Haryati Abdul Hamid.

Menurut Azmi, keberkesanan fungsi Unit Integriti turut bergantung kepada kerjasama pelbagai bahagian dalam organisasi, khususnya sumber manusia, kewangan, perolehan, audit dalam dan penasihat undang-undang.

Katanya, kerjasama rentas bahagian itu diperlukan bagi memastikan setiap isu integriti dapat ditangani berdasarkan bidang kepakaran serta keperluan agensi masing-masing.

Dalam perkembangan sama, beliau meminta semua Ketua Unit Integriti memberikan perhatian terhadap pelaksanaan Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA).

Pelaksanaan modul itu perlu dipastikan selaras dengan Pekeliling Am Bilangan 4 Tahun 2021 yang menetapkan ia dimasukkan dalam kursus penjawat awam pada setiap tahun.

Azmi turut menggalakkan penerapan pendekatan Behavioural Insights (BI) bagi memperkasakan peranan Unit Integriti dalam membanteras rasuah serta mendorong perubahan tingkah laku dalam kalangan penjawat awam.

Pendekatan berkenaan juga selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 dalam usaha memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus sektor awam.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here