SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur telah menahan reman seorang pemilik syarikat perundingan, pengurusan dan perniagaan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM30,000 sebagai balasan mendapatkan geran dan pinjaman di bawah skim pembiayaan kewangan usahawan Bumiputera untuk dua buah syarikat berkaitan persenjataan dan pertahanan.
Perintah reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 10 September terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Aliaa Anwar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi semalam.
Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 6.45 petang 3 September di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan tersebut pada Mac 2025 dan disyaki telah meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM30,000 daripada seorang pemilik syarikat berkaitan persenjataan dan pertahanan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes ini disiasat dibawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.





