SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan menyerahkan notis pengisytiharan harta kepada anak bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang berusia 12 tahun.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, notis berkenaan sebaliknya diserahkan kepada Saravanan dan isterinya.
Beliau berkata, kehadiran anak Saravanan yang berusia 12 tahun ketika urusan penyampaian notis itu bukan bagi menerima dokumen berkenaan, sebaliknya hanya menemani ibu bapanya.
“Mengenai notis penyerahan kepada anak berusia 12 tahun, pihak kami tidak menyerahkan notis kepada anaknya itu.
“Di bawah undang-undang tidak dinyatakan kategori umur, sebaliknya yang disebut adalah saudara dan sekutu. Jadi dalam kategori anak berusia 12 tahun ini, kita gunakan budi bicara dan istilah munasabah.
“Kita tidak menyerahkan notis tersebut kepada anak beliau yang berusia 12 tahun,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-59 SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.
Menurut Abd Halim, terdapat anak Saravanan yang masih belum menerima notis berkenaan kerana sedang melanjutkan pengajian di luar negara.
“Jadi kepada mereka yang ada, kita laksanakan penyampaian notis terlebih dahulu. Tetapi kepada anak beliau yang berumur 12 tahun itu, kita memang tidak menyerahkan notis.
“Kehadiran kanak-kanak itu bukan bermaksud dia datang secara fizikal untuk menerima notis tetapi lebih kepada menemani ibu bapanya.
“Mungkin hendak tinggalkan anak di rumah tiada orang, jadi mereka datang seperti biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Halim berkata, tempoh yang diberikan menerusi notis pengisytiharan harta terhadap Ahli Parlimen Tapah itu boleh dilanjutkan sekiranya terdapat alasan munasabah.
“Namun, jika tempoh tersebut tidak mencukupi atas apa-apa sebab atau alasan, kita boleh melanjutkan tempoh tersebut mengikut masa dan tempoh yang munasabah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa notis pengisytiharan harta berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 36(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA), bukannya Akta SPRM.
Pada 28 September lalu, Saravanan dilaporkan meluahkan rasa tidak puas hati selepas mendakwa anak lelakinya yang berusia 12 tahun turut dikaitkan dalam isu pengisytiharan harta oleh SPRM.





