TAKTIK menyembunyikan 1,240 unit alat permainan seks bernilai RM52,500 dengan mencampurkannya bersama pelbagai barangan sah untuk diseludup masuk menggunakan sebuah kontena terbongkar.
Kegiatan itu dikesan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor di Zon Pelabuhan Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 26 Mei lalu.
Pengarah Kastam Selangor, Noraidah Ishak berkata, hasil pemeriksaan terhadap kontena terbabit menemukan 1,240 unit alat permainan seks bernilai RM52,500.
“Barangan ini diklasifikasikan sebagai barang larangan mutlak dan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
“Siasatan awal mendapati kontena terbabit tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Mei dari China,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Selangor, hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, JKDM percaya barangan berkenaan untuk pasaran tempatan dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan individu yang terlibat.
Noraidah berkata, modus operandi yang dikesan adalah membuat pengikraran tidak benar dalam Borang Kastam 1 dengan mengikrarkan dagangan sebagai kerusi, beg pinggang serta pakaian dalam.
Dalam kes berasingan, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor merampas 48.78 juta batang rokok putih bernilai RM37.56 juta termasuk duti dan cukai, dalam operasi pada 3 hingga 10 Jun lalu.
Beliau berkata, kesemua kontena terbabit berstatus transhipment dan tidak mempunyai pengikraran dalam manifes.
“Rokok tersebut dipercayai datang dari sebuah negara di Asia, namun tidak dibuat pengikraran dalam manifes sehingga tarikh pemeriksaan dilaksanakan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kepada JKDM menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.
“JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.





