Sumbangan RM150, bayaran insurans kepada 350 rider – Fahmi

Seramai 350 penghantar makanan (rider) di Lembah Pantai menerima bantuan tunai dan perlindungan insurans sebagai usaha memperkukuh kebajikan pekerja gig.

Ahli Parlimennya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setiap penghantar makanan menerima bantuan tunai RM150 sebagai sokongan tambahan khususnya sepanjang bulan Ramadan, selain kerajaan turut membantu membayar premium insurans bagi kumpulan berkenaan, pada tahun pertama.

“Perlindungan tersebut meliputi kemalangan, kematian, penyakit dan risiko kesihatan lain termasuk denggi, serta memberi jaminan keselamatan sosial yang lebih baik kepada pekerja gig.

“Ketika tempoh pandemik dahulu, kita mengangkat para penghantar makanan sebagai barisan hadapan. Saya tidak melupakan jasa mereka dan mahu memastikan kebajikan serta masa depan mereka terus terbela,” katanya selepas berbuka puasa bersama anak muda Rider Temumi di IWK Eco Park @ Pantai Dalam, Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau, usaha memperkukuh perlindungan pekerja gig juga sedang diperkasa di peringkat dasar melalui inisiatif Kerajaan MADANI termasuk cadangan rang undang-undang berkaitan pekerjaan gig yang telah diluluskan di Parlimen.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI turut menyatakan hasrat untuk mewujudkan lokasi persinggahan khas buat rider di kawasan Lembah Pantai sebagai tempat berehat sementara menunggu pesanan.

“Ramai rider memaklumkan mereka perlukan ruang untuk berehat seketika. Kita akan teliti beberapa lokasi sesuai dan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan cadangan ini dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau menegaskan komitmen berterusan untuk memperjuangkan kebajikan, hak serta perlindungan sosial pekerja gig selaras dengan perubahan landskap ekonomi semasa.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img