SEORANG pengusaha bot pelancong di Besut mendakwa kerugian RM135,680 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran pinjaman wang tidak wujud.
Mangsa seorang lelaki berusia 38 tahun sebelum itu ternampak iklan tawaran pinjaman melalui aplikasi TikTok sebelum menghubungi pihak yang menawarkan pinjaman itu melalui aplikasi WhatsApp pada 25 September lalu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, mangsa kemudian diminta membuat beberapa bayaran sebelum pinjaman berkenaan diberikan.
“Mangsa melakukan 18 transaksi pindahan wang ke beberapa akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM 135,680,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, lelaki itu menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas diminta membuat bayaran tambahan, namun pinjaman yang dijanjikan tidak diterima.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan serta mengenal pasti pihak terbabit.
“Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan kepada pihak polis atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang melalui media sosial khususnya tawaran yang meminta bayaran pendahuluan atau bayaran tambahan sebelum pinjaman diberikan.





