SEORANG ahli perniagaan wanita kerugian RM245,500 selepas diperdaya sindiket tawaran tender tidak wujud yang menggunakan nama sebuah agensi kerajaan di Miri, baru-baru ini.
Mangsa berusia 61 tahun yang menjalankan perniagaan dalam bidang pembinaan mendakwa berurusan dengan suspek yang menyamar sebagai pegawai sebuah agensi kerajaan dan menawarkan tender membekal barangan elektronik.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Miri menerima laporan berhubung kes itu kelmarin.
“Modus operandi digunakan adalah dengan meminta mangsa mendapatkan barangan yang bukan dalam bidang perniagaannya sebelum diberikan nombor telefon suspek kedua untuk urusan pembelian barang berkenaan.
“Mangsa kemudian diperdaya sehingga membuat empat transaksi pembayaran ke akaun bank pihak ketiga yang diberikan suspek membabitkan jumlah keseluruhan RM245,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan dengan pihak berkaitan dan mendapati tender terbabit tidak wujud.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


