TAMAN Tema Sunway memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden membabitkan sebuah roller coaster di Sunway Lagoon pada 22 Ogos lalu.
Dalam kenyataan hari ini, Taman Tema Sunway memaklumkan, pihaknya amat prihatin terhadap pengunjung yang terjejas serta kesulitan yang dialami mereka dan keluarga susulan insiden berkenaan.

“Kami bersedia meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa dan individu-individu yang terlibat sepanjang proses ini,” kata kenyataan itu.
Insiden berkenaan membabitkan 10 orang pengunjung.
Pengurusan taman tema itu juga memaklumkan, keselamatan dan kesejahteraan pengunjung adalah keutamaan pihaknya.
“Sejak insiden tersebut, tumpuan utama kami adalah terhadap penjagaan dan kesihatan pengunjung-pengunjung yang terlibat.
“Kami telah menyediakan bantuan perubatan yang diperlukan serta terus berhubung rapat dengan pengunjung-pengunjung dan keluarga mereka,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, Taman Tema Sunway memandang serius perkara berkenaan dan kekal komited sepenuhnya untuk memastikan semua tarikan serta fasilitinya mencapai tahap keselamatan tertinggi, selain keselamatan dan keyakinan pengunjung terus terjamin.
“Kami kekal komited sepenuhnya untuk memastikan semua tarikan dan fasiliti kami mencapai tahap keselamatan tertinggi serta keselamatan dan keyakinan para pengunjung kami terus terjamin,” kata kenyataan itu lagi.





