RAKYAT dijangka akan mula merasai tekanan harga barang dalam tempoh dua bulan mendatang kesan peningkatan kos bahan api, logistik, dan insurans akibat konflik di Asia Barat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini tekanan itu kurang dirasai memandangkan ‘stok barangan tempatan dalam negara masih ada’.
Namun kata beliau, kenaikan harga dijangka berlaku apabila ‘stok-stok baharu akan datang’.
Menurutnya, berikutan kenaikan kos bahan api seperti petrol, diesel dan kapal terbang, rakyat dijangka akan mula merasai kelak kerana kos logistik dan insurans juga meningkat.
“Kesannya mungkin dapat dirasai dalam dua bulan yang akan datang sebab masa sekarang, stok barangan tempatan kita yang ada dalam negara masih ada.
“Tapi lepas ini, stok-stok baharu akan datang dengan harga yang baharu,” katanya, lapor Utusan Borneo.
Menurut Fadillah, meskipun konflik perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran berakhir, proses pemulihan bekalan tenaga global dijangka mengambil masa panjang berikutan kemusnahan terhadap fasiliti penapisan minyak.
Katanya, sekurang-kurangnya enam bulan diperlukan untuk memulihkan bekalan tenaga global pada tahap 50 peratus, manakala pemulihan sepenuhnya boleh mencecah sehingga setahun.
Tambah beliau, Malaysia ketika ini berada pada kedudukan lebih baik berbanding beberapa negara ASEAN, namun langkah berjimat cermat tetap perlu dilaksanakan sebagai persediaan berdepan ketidaktentuan.
Beliau berkata, di Filipina, lebih 400 stesen minyak dilaporkan telah ditutup sehingga memaksa pelaksanaan pencatuan bahan api, manakala Indonesia dan Thailand turut mengambil langkah sama.
Justeru, katanya, kerajaan turut memperkenalkan langkah penjimatan tenaga bagi memanjangkan tempoh rizab tenaga negara.
“Langkah ini penting bagi memastikan bekalan tenaga dapat bertahan lebih lama, terutama jika konflik berlarutan,” katanya.


