
DONALD Trump dikatakan akan menambah sehari lagi tempoh yang diberikan kepada Iran untuk membuat perjanjian atau membuka Selat Hormuz sebelum menyerang loji janakuasa Iran.
Sebenarnya ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Ia kerana Presiden AS itu semakin ‘tidak tentu hala’ apabila Iran bukan sahaja bertindak balas terhadap kebiadaban AS-Israel menyerang republik Islam tersebut malah tidak pernah peduli amaran Trump.
Atas sebab itulah ketika ini Trump terus berhalusinasi terhadap ‘kejayaan’ beliau dan pengganas antarabangsa Benjamin Netanyahu menyerang Iran. Ketika perang bermula Trump berkata, sistem pertahanan udara dan sistem peluru berpandu Iran sudah dimusnahkan.
Tidak cukup dengan itu Trump berkhayal AS sudah mengadakan rundingan dengan Iran bagi menghentikan peperangan .Kalau mahu disenaraikan banyak lagi yang Trump ‘merapu’ disebabkan terkejut dengan tindak balas Iran.
Setiap kenyataan Trump pasti akan dibalas dengan kenyataan tegas pemimpin dan serangan keras oleh tentera Iran. Mereka tidak bercakap kosong, sebaliknya Iran buktikan dengan melancarkan serangan ke atas kepentingan AS di Asia Barat, selain menghantar beratus-ratus peluru berpandu untuk menghancurkan Tel Aviv dan wilayah Palestin yang dirampas dan duduki pendatang haram Yahudi.
Lanjutan itu, hari ini ada laporan mendakwa Trump yang terperangkap dalam kebuntuan strategik telah menambah satu hari lagi kepada tempoh sebelumnya untuk melancarkan serangan ke atas loji janakuasa Iran serta menjadikan Iran kembali ke ‘zaman baru’.
Mulanya beliau memberi tempoh 10 hari tetapi Iran membalas dengan menembak jatuh beberapa pesawat AS – satu tindakan yang menyebabkan Trump ‘terkejut beruk’!
Selepas itu, Trump berkata bahawa hanya tinggal 48 jam lagi daripada tempoh yang diberikan kepada Iran. Sekali lagi Iran tetap bertegas dan menyatakan bahawa jika Trump melakukan tindakan tidak waras, satu “kejutan istimewa” menantinya.
Berikutan itu Trump menambah satu hari lagi dan melanjutkan tempoh sehingga hari Selasa (hari ini). Sekali lagi Iran bertegas. Hari ini Trump menambah satu hari lagi (esok)! Tidak kiralah berapa haripun yang Trump berikan, Iran tidak akan menghiraukannya.
Semalam apabila agensi berita antarabangsa menyatakan Iran dan AS mencapai persetujuan untuk berunding, Iran secara tegas menyatakan, mereka menolak sebarang rundingan dan gencatan senjata.
Trump cuba menggunakan modus operandi yang sama sepertimana beliau lakukan di Gaza, apabila menyediakan pelan damai dan perjanjian gencatan senjata selain janji bahawa Israel tidak akan mengganas di wilayah itu lagi. Semua itu dibuat melalui perbincangan dengan Benjamin Netanyahu.
Cara yang sama juga akan beliau lakukan dengan Iran. Beliau akan mendapatkan kelulusan Netanyahu terlebih dahulu bagi setiap perkara dalam perjanjian yang pasti sama sekali tidak menyebelahi Iran.
Masihkah kita ingat bagaimana pemimpin Islam khususnya di Asia Barat yang sebahagian besarnya sekutu AS bersorak dan menganggap Trump pejuang keamanan sejagat, tetapi lihat apa yang berlaku di Gaza sekarang.
Pelan damai dan perjanjian gencatan yang dimeterai hanya sehelai kertas yang tidak berguna sama sekali. Rejim Zionis bagaikan meletakkannya di bawah tapak kaki mereka sahaja apabila Israel terus menjajah, menyerang, membunuh dan musnahkan bumi Palestin tersebut sehingga ke harii ini!
Bagaimanapun pemimpin Iran tidaklah sejahil sesetengah pemimpin di Asia Barat yang mudah terperdaya dengan sandiwara dan pembohongan Trump yang dianggap ‘pak turut’ Netanyahu. Iran tetap berkeras dan tidak peduli langsung amaran AS itu dengan menegaskan,’
“Jika Trump meningkatkan lagi kegilaannya dengan melaksanakan ancaman ini, dia hanya akan menjadikan kekalahannya lebih besar! Dan sudah tentu, dia harus tahu bahawa dalam keadaan ini, selain membakar semua kepentingan Amerika di rantau ini, kesan peperangan kemungkinan besar akan sampai ke wilayah Amerika.”
Namun Trump terus ‘berkhayal’ apabila dalam kenyataan terbaru semalam, mencadangkan AS mengenakan tol di Selat Hormuz .
“Bagaimana kalau kita yang kenakan tol? Saya lebih suka begitu daripada biarkan mereka. Kenapa tidak kita? Kita (AS-Israel) pemenang. Kita menang,” katanya dalam satu temu bual.
Paling merepek Trump mendakwa Iran telah dikalahkan secara operasi ketenteraan, walaupun Tehran masih melancarkan serangan dron dan peluru berpandu serta mengekalkan sekatan di Hormuz.
Ada laporan media barat menyatakan, satu kajian ketenteraan menunjukkan kadar ketepatan peluru berpandu Iran terhadap Israel berbanding hari-hari awal perang telah meningkat dengan sangat ketara dan menjadi 9 kali ganda!
Kajian itu menyatakan bahawa daripada setiap 3 peluru berpandu Iran, satu peluru berpandu mengenai sasaran dengan tepat. Sebab itulah Israel melarang sama sekali, kesan serangan Iran disiarkan dalam mana-mana media atau platform di negara Zionis itu.
Tingkah laku aneh Trump yang suka berkhayal menguasai Selat Hormuz, suka menipu mengatakan Iran sudah kalah dan suka berbohong dalam membuat perjanjian menyebabkan Iran tidak mungkin akan mempercayai beliau.
Namun sikap Presiden AS penuh skandal itu termasuk fail Epstein tetap akan menghuru-hara dunia yang kini berhadapan dengan krisis tenaga.
‘Tahniah’ kepada negara Asia Barat yang bersedia membiarkan negara menjadi pangkalan untuk menyerang Iran dan ‘takziah’ kerana mereka juga akan merasai akibatnya melalui tindak balas Iran.


