‘’Terpulang kepada Anwar pulihkan keahlian saya’’  – Tian Chua

TIAN CHUA  antara pemimpin pengasas PKR yang dipecat pada 2023 menyambut baik seruan Presiden  Datuk Seri Anwar Ibrahim agar veteran parti kembali ke pangkuan parti.

Beliau turut menyatakan, kehadirannya pada kongres nasional parti adalah atas jemputan Anwar sendiri.

“Saya rasa beliau sudah menyampaikan mesej dengan jelas. Beliau mahu golongan veteran kembali dan membantu mengukuhkan parti, termasuk mereka yang rasa dipinggirkan,” katanya kepada FMT.

Apabila ditanya sama ada akan menyertai semula PKR, Tian Chua berkata: “Ia terpulang kepada Anwar. Terpulang kepada Anwar untuk memulihkan keahlian saya dengan nombor keahlian sama.”

Tian Chua dipecat PKR selepas PRU15 pada 2022 kerana bertanding di Parlimen Batu sebagai calon bebas. Calon Pakatan Harapan (PH) P Prabakaran, yang juga daripada PKR menang kerusi berkenaan dalam saingan 10 penjuru.

Dalam ucapan dasarnya di Kongres PKR awal hari ini, Anwar memohon maaf dan menyeru ‘otai-otai’ parti kembali kepada PKR.

Tian Chua, bekas Ahli Parlimen Batu dua penggal, berkata rayuan Anwar itu bertujuan mengukuhkan parti dan memperkasakan gerakan reformasi.

Katanya, walaupun terdapat perselisihan faham pada masa lalu dalam parti, PKR kekal kuasa politik yang penting di Malaysia yang berbilang kaum.

Beliau turut mendakwa PKR terus diancam politik identiti di sebalik agenda reformasi PH.

Katanya, sentimen anti-PH kekal kuat, manakala sokongan akar umbi dan jentera pilihan raya PKR merosot secara beransur-ansur sejak beberapa tahun ini.

Dengan kekalahan berturut-turut pada PRN baru-baru ini, Tian Chua berkata, penting bagi semua pihak untuk ‘kembali bekerja’.

Beliau berkata, bekas Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar, turut hadir pada kongres itu dan berharap Anwar akan berhubung dengan bekas pemimpin lain.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here