RESPON PEMIMPIN ISRAEL BERIKUTAN PENOLAKAN AS
PENDEKATAN Israel yang selama ini terkenal dengan pendekatan keras terhadap wilayah Palestin tiba-tiba menunjukkan perubahan drastik.
Penentangan tegas daripada pemerintah Amerika Syarikat terhadap rancangan Pengilhakan (aneksasi) Tebing Barat telah menggoncang politik dalaman Israel dan memaksa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu melakukan langkah berhati-hati.
Pengilhakan atau aneksasi merupakan tindakan pentadbiran dan konsep undang-undang antarabangsa mengenai pengambilalihan wilayah sesebuah negara berdaulat secara paksa oleh negara lain.
Bagi kepimpinan Israel, sokongan Washington bukan sekadar simbol diplomatik. Ia merupakan tonggak utama yang menjamin perlindungan Israel di peringkat antarabangsa — daripada sokongan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hinggalah bantuan kewangan bernilai berbilion dolar setiap tahun. Kehilangan sokongan itu bukanlah sesuatu yang boleh dipertaruhkan.
Kepanikan di pihak kerajaan Israel jelas kelihatan apabila Netanyahu dan menterinya segera melakukan langkah “damage control”, menarik semula wacana aneksasi yang menimbulkan kemarahan Washington.
Mereka mendakwa pengesahan rang undang-undang berkenaan hanyalah “kesilapan Parlimen” yang dicetuskan oleh pihak pembangkang, sambil menegaskan bahawa dasar rasmi kerajaan Israel tidak akan berubah tanpa perundingan dengan Amerika Syarikat.
Langkah berundur secara tergesa-gesa ini mendedahkan realiti sebenar: di sebalik retorik nasionalisme dan kedaulatan yang sering dilaungkan, Israel tetap bergantung sepenuhnya kepada restu dari Rumah Putih bagi kelangsungan politik dan keselamatannya.
Enam individu Israel yang menolak aneksasi Tebing Barat
- Benjamin Netanyahu – Perdana Menteri Israel
Walaupun Parti Likud yang dipimpinnya sebelum ini menyokong idea aneksasi, Netanyahu kini menolak keras pengundian simbolik di Knesset pada Oktober 2025.
Kenyataan rasmi pejabatnya menyifatkan tindakan itu sebagai “provokasi politik yang disengajakan oleh pihak pembangkang untuk menimbulkan perpecahan”, terutama ketika lawatan Naib Presiden AS, JD Vance.
Sikap Netanyahu ini dilihat berpaksikan strategi politik — mengelakkan pertelingkahan dengan sekutu utama, Amerika Syarikat, yang jelas menentang aneksasi.
- Yair Lapid – Ketua Pembangkang
Sebagai pemimpin parti Yesh Atid, Lapid secara konsisten menentang sebarang bentuk aneksasi unilateral. Walaupun beliau menggunakan isu ini untuk mengkritik kerajaan Netanyahu, Lapid berpegang kepada pendirian bahawa langkah sedemikian akan merosakkan imej Israel dan menjejaskan kestabilan rantau.
- Parti Buruh dan Meretz – Blok Sayap Kiri
Kedua-dua parti ini secara ideologi menolak aneksasi dan menyokong penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan pra-1967.
“Kami menolak aneksasi dan menuntut pengunduran Israel ke belakang Garis Hijau,” demikian pendirian konsisten mereka yang sering disuarakan di Knesset.
- Anshel Pfeffer – Wartawan dan Penulis Biografi Netanyahu
Pfeffer, yang dikenali sebagai penulis biografi tidak rasmi Netanyahu, berpendapat rancangan aneksasi hanyalah “gimik politik” untuk meraih sokongan daripada pengundi sayap kanan dan tidak pernah dirancang untuk dilaksanakan secara serius.
- Amichai Cohen – Penyelidik Kanan, Israel Democracy Institute
Cohen menegaskan bahawa aneksasi secara de facto sebenarnya telah lama berlaku di Tebing Barat, namun aneksasi rasmi akan membawa kesan diplomatik yang serius dan menggagalkan sebarang peluang penyelesaian dua negara.
- Commanders for Israel’s Security – Kumpulan Bekas Pegawai Tentera
Pertubuhan yang dianggotai bekas pegawai tinggi tentera dan perisikan Israel ini menolak aneksasi atas dasar keselamatan nasional.
Menurut mereka, tindakan itu akan mencetuskan konflik baharu, meningkatkan risiko terhadap askar Israel, serta merosakkan hubungan strategik dengan negara-negara Arab yang kini menjalinkan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.
Krisis ini menunjukkan bagaimana Israel kini berada di persimpangan sukar antara tekanan politik dalaman dan kebergantungan mutlak terhadap Amerika Syarikat. Retorik tegas mengenai kedaulatan tidak lagi mampu menutup hakikat bahawa masa depan Israel banyak ditentukan oleh kehendak sekutunya di Washington. – (sumber Republika co.id)
PERSOALANNYA:
Apakah mereka yang menentang aneksasi itu benar-benar ikhlas atau ia sekadar sandiwara seketika? Ia memandangkan walaupun Israel membatalkan hasrat merampas Tebing Barat yang merupakan wilayah Palestin namun rejim Zionis itu terus membiarkan tenteranya melakukan keganasan ke atas penduduk Palestin.
Pada masa sama, peneroka haram Yahudi terus melakukan tindakan ganas ke atas penduduk Palestin. Selain merampas rumah mereka, peneroka haram itu juga menyerang pemilik-pemilik pekebun buah zaitun.
Malangnya, tindakan jahat peneroka haram Israel itu disokong oleh tentera yang mengiringi mereka untuk melakukan perbuatan tersebut. Oleh itu jika AS benar-benar mahu memastikan Tebing Barat tidak dirampas oleh Israel maka mereka juga perlu memastikan Israel menghentikan keganasan ke atas penduduk Palestin tersebut.
Menurut laporan terkini Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA), setakat akhir Oktober 2025, kira-kira 198 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 3,200 orang cedera di wilayah Tebing Barat sepanjang tahun 2025.
Untuk konteks yang lebih luas, sejak permulaan konflik berskala besar pada 7 Oktober 2023, angka kematian di wilayah itu mencecah hampir 1,000 orang, dan pengusiran atau pemindahan paksa telah menimpa lebih 10,000 orang akibat perobohan rumah dan operasi ketenteraan.
Setiap hari di Tebing Barat ada sahaja penduduk Palestin yang ditangkap, dibunuh atau cedera angkara kejahatan yang dilakukan oleh tentera Israel. Mungkin benar pemerintah Israel akan menghentikan hasrat mereka untuk merampas Tebing Barat tetapi sikap ganas mereka tidak akan berhenti.
Perlu diingat baru-baru ini seorang wartawan AS mendedahkan bagaimana pemerintah AS memberitahu beliau bahawa mereka tidak akan menyelamatkan mana-mana warga negara itu yang terperangkap dalam konflik dengan tentera Israel, sebaliknya mereka hanya akan bertindak jika warga AS itu diserang oleh puak Houthi atau Hamas!
Kalaulah warga AS sendiripun tidak mahu diselamatkan oleh pemerintah negara itu jika berkonflik dengan tentera Israel, adakah kita boleh mengharapkan mereka akan menyelamatkan penduduk Palestin daripada tentera Zionis.
Juster apa gunanya wilayah tidak rampas, kalau hidup tetap seperti dijajah!



