PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bukan lagi pilihan kedua dalam kalangan pelajar di negara ini untuk melanjutkan pengajian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, landskap pendidikan sudah berubah dengan ketara apabila TVET kini berada dalam arus perdana dan menjadi pilihan utama bagi memastikan masa depan anak-anak lebih terjamin.
Katanya, perubahan itu dapat dilihat menerusi peningkatan mendadak permohonan ke kolej vokasional sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Pada 2022, kita menerima seramai 28,098 permohonan, namun pada tahun 2026, jumlah itu meningkat dengan signifikan kepada 58,263,” katanya pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke-10 di Kuching, hari ini, lapor Buletin TV3.
Seramai 874 graduan yang mengikuti 15 program diploma di enam Kolej Vokasional di Sarawak menerima sijil masing-masing pada majlis itu.
Fadillah berkata, jumlah itu jauh melebihi kapasiti pengambilan yang hanya mampu menampung seramai 17,912 pelajar bagi tempoh sama.
Menurutnya, penekanan kini bukan lagi sekadar kepada sijil, tetapi kepada kecekapan teknikal dan kepakaran digital yang mampu meningkatkan nilai ekonomi.


