UMNO cenderung berunding dengan Pas, apa nasib Wawasan?

KETIKA Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan (NS), Barisan Nasional (BN) bersedia menjalinkan persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas dan Wawasan untuk menentang Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun sama ada persefahaman itu akan diteruskan dalam PRN Melaka dan PRU-16 ia menimbulkan persoalan apabila pada Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung, parti itu dilihat lebih cenderung untuk bersama dengan Pas sahaja bukan PN.

Maknanya UMNO secara halus memberi isyarat mereka tidak mahau bekerjasama dengan parti Wawasan yang dipimpin oleh bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Ia sekaligus bermaksud penyatuan Melayu yang diuar-uarkan oleh UMNO hanya melibatkan dua parti besar iaitu UMNO dan Pas.

Kecenderungan untuk mengadakan perundingan bersama Pas sahaja disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Seperti mana dalam pilihan raya lepas, kita memang mengadakan perundingan dengan Pas dan PN. Namun kalau lihat daripada perbahasan dan perwakilan, wujud kecenderungan untuk kita fokus kepada perundingan dengan Pas berbanding melihat kepada konteks PN. Jawatankuasa perundingan akan dibentuk oleh pimpinan parti apabila tiba masanya,” katanya pada sidang akhbar di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur hari ini.

Kenyataan itu sekaligus boleh meletakkan Pas dalam dilema manakala masa depan PN tidak menentu. Ia kerana dengan pendirian UMNO itu adakah Pas akan meminggirkan Wawasan selepas mereka (Pas) memutuskan hubungan politik dengan Bersatu? Atau adakah Pas akan bermain ‘dua kolam’. Bekerjasama dengan  Wawasan di utara dan timur, berpakat dengan UMNO di kawasan tengah dan selatan?

Senario yang berlaku di Perhimpunan Agung UMNO tersebut bukanlah sesuatu mengejutkan. Sejak awal lagi apabila penyatuan Melayu diperkatakan, ia lebih cenderung melibatkan UMNO dan Pas manakala Wawasan dilihat hanya ‘tumpang sekaki’.

Sudah pastilah walaupun Pas dan UMNO pernah mencatatkan ‘sejarah hitam’ ketika terlibat dalam penyatuan ummah sebelum ini namun Pas tetap menjadi pilihan UMNO.

Ia kerana UMNO melihat Pas lebih kuat dan lebih berpengaruh daripada Wawasan. Apatah lagi Wawasan adalah parti serpihan Bersatu. Bersatu pula ketika ini sedang berantakan dan ibarat ‘ada pun tak apa, tak adapun tak ada masalah’.

UMNO tahu untuk memperkukuhkan lagi sokongan orang Melayu terhadap parti itu, mereka tidak ada pilihan, selain bekerjasama dengan Pas. PRN NS membuktikan bagaimana melalui persefahaman dengan PN yang ketika itu diwakili oleh Pas dan Wawasan, ia membantu UMNO meraih lebih banyak undi daripada pengundi Melayu.

Apapun kita tunggu keputusan Jawatankuasa Perundingan yang akan ditubuhkan oleh UMNO. Agak menarik untuk mengetahui apa akan berlaku khususnya melibatkan Pas jika UMNO memilih mahu bekerjasama dengan Pas sahaja. Adakah Pas akan meninggalkan Wawasan? Adakah Wawasan mampu membantah kehendak Pas? Nanti terpancul pula ayat ,’’ “Dia baru tubuh parti dua hari, lepas itu mai duk ajaq (ajar) kita.’’



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here