UMNO, penyokong Najib tak perlu marah…memang betulpun apa Ummi Umairah cakap!

KIRA-kira 74 tahun lalu orang Melayu khususnya dalam UMNO telah mengumpul duit serta menyumbang harta demi menuntut kemerdekaan.

Peristiwa ikonik itu berlaku apabila Tunku Abdul Rahman mahu mengetuai rombongan ke London untuk berunding mengenai kemerdekaan dengan Kerajaan British, namun menghadapi masalah kekurangan dana yang kritikal.

Bagaimanapun selepas 74 tahun, UMNO turut membuat kutipan dana untuk jumlah yang cukup besar iaitu RM50 juta. Ia bukan untuk membina bangunan UMNO,ia bukan untuk tabung kebajikan kepada ahli-ahli UMNO dan ia bukan untuk dana pilihan raya UMNO tetapi untuk membayar denda bagi membolehkan bekas Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara kepada tahanan rumah.

Ia merupakan antara perkara dalam Pengampunan Bersyarat yang dibenarkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Baginda menukarkan baki hukuman penjara kepada tahanan rumah sehingga Ogos 2028, dengan syarat utama mesti membayar denda RM50 juta tersebut. Jika denda tidak dibayar, beliau kekal di dalam penjara.

Berikutan itu kononnya atas alasan solidariti, UMNO melancarkan dana bagi membayar denda berkenaan dan sehingga akhir September lalu ia telah mencecah RM9.5 juta.

Dari satu segi, mungkin ia dianggap kehebatan pemimpin dan ahli UMNO bersolidariti dengan bekas Presiden mereka, tetapi dari satu segi pelbagai pihak melihat sebagai satu tindakan tidak wajar.

Tanpa sama sekali mengenepikan segala jasa selama 10 tahun Najib menjadi Perdana Menteri, penulis sendiri berpendapat UMNO tidak seharusnya berbuat demikian kerana ia memberi isyarat yang salah kepada rakyat.

Perlu diingat Najib didapati bersalah dalam kes dana SRC International berjumlah RM42 juta oleh tiga mahkamah yang melibatkan sembilan hakim iaitu seorang hakim Mahkamah Tinggi, tiga hakim Mahkamah Rayuan dan lima hakim Mahkamah Persekutuan.

Bermula dari Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juga hingga ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, kesemua hakim mengekalkan hukuman tersebut.

Soal dakwaan berlaku pendakwaan terpilih sepertimana dihujah oleh segelintir pemimpin UMNO, ia sudah menjadi sekadar catatan kerana tiga mahkamah dan sembilan hakim  ‘sebulat suara’ mensabitkan kesalahan tersebut.

Atas sebab itulah penulis berpendapat kutipan dana oleh UMNO untuk Najib adalah satu kesilapan politik dan memberi mesej yang salah terutama generasi muda. Mereka berasa aneh dengan sikap UMNO kerana parti itu berada dalam satu kerajaan yang sedang memerangi rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan tetapi UMNO sendiri membela individu yang didapati bersalah kerana salah guna kuasa.

Justeru adalah jahil jika mana-mana pihak khususnya penyokong tegar UMNO dan Najib berasa berang sehingga terpekik terlolong dalam media sosial menyerang Mahasiswa Universiti Malaya (UM) Ummi Umairah Bakhit  kerana mempersoal tindakan orang ramai menderma membantu bekas Perdana Menteri itu.

Kata-kata Ummi Umairah bahawa tindakan menderma kepada Najib sebagai antara perkara paling bodoh dilihat beliau dalam satu forum terbuka dihadiri oleh Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini menyebabkan mereka yang menyokong Najib ‘kepanasan’.

Itulah adalah hak Ummi Umairah untuk bersuara, kenapa perlu menyerang beliau. Penyokong UMNO bercakap soal kebebasan bersuara tetapi apabila suara itu tidak menyebelahi mereka mula mereka ‘meracau’. Perlu diingat penulis percaya bukan sahaja Ummi Umairah malah ramai lagi yang mempunyai pandangan sedemikian…cuma mereka tidak seberani mahasiswa itu yang bercakap secara terbuka di hadapan pemimpin UMNO.

Justeru tidak timbul soal tiada adab apabila Ummi Umairah bersuara. Beliau hanya menzahirkan pendapat, terpulang kepada Khairy dan Onn Hafiz untuk mejawab. Kenapa mereka tidak mempersoalkan kenyataan Onn Hafiz yang menyifatkan apa yang berlaku adalah pendakwaan terpilih?

Penyokong UMNO atau penyokong Najib perlu ingat jutaan lagi rakyat Malaysia yang ada pandangan seperti Ummi Umairah dan pastinya mereka juga menganggap apa yang UMNO lakukan tidak cerdik.

Cuba pemimpin UMNO dan penyokong Najib bertanya kenapa sehingga ke hari ini Pas  tidak bersuara mengenai dana itu. Penulis yakin kalau Pas merasakan apa yang dilakukan oleh  UMNO itu betul sudah pasti mereka juga akan memberi sumbangan atau menggerakkan usaha ke arah tersebut.

Tetapi Pas tidak memberi sebarang komitmen kerana mereka tidak mahu terpalit dengan ‘usaha tidak cerdik’ UMNO itu. Penulis juga percaya ada dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri ada yang tidak selesa dengan apa yang dilakukan parti itu.

Kesimpulannya, apa yang dibuat oleh UMNO memberi isyarat yang cukup salah kepada generasi muda dan rakyat UMNO bercakap soal ketelusan, UMNO menafikan parti itu parti rasuah, UMNO marah apabila istilah ‘sakau’ dikaitkan dengan pemimpin mereka, tetapi  UMNO mengutip dana untuk memastikan bekas Presiden mereka yang didapati bersalah oleh atas tuduhan salah guna kuasa dapat menjalani hukuman tahanan rumah. Maka betullah apa yang Ummi Umirah cakap!



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here