Umur 14 tahun sudah pandu kereta: Remaja rempuh dua kenderaan di lokasi berbeza

SEORANG remaja perempuan berusia 14 tahun dikesan memandu sebuah kereta sehingga menyebabkan kemalangan di dua lokasi berasingan dekat Taman Chai Leng di Perai semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, remaja terbabit dipercayai menghidap masalah pembelajaran dikatakan merempuh sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan sebelum meneruskan perjalanan dan dipercayai memandu melawan arus sehingga merempuh sebuah lagi kereta.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 8.47 malam hari sama.

Menurutnya, polis turut mengesan satu video tular dalam media sosial yang memaparkan kejadian berkenaan.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dipandu remaja itu dari Lorong Kurau 23 menuju ke Jalan Kurau 1 merempuh sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.

“Remaja itu kemudian meneruskan perjalanan sebelum dipercayai memasuki laluan sehala secara melawan arus di Lebuh Kurau 5 dan merempuh sebuah lagi kereta yang sedang bergerak di laluan yang betul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan kerosakan pada ketiga-tiga kenderaan terbabit.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan mana-mana pihak. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya, manakala siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial video memaparkan seorang remaja memandu sebuah kereta Jenis Inokom Atos secara berbahaya sebelum kenderaan itu berjaya dihentikan oleh orang awam di lokasi kejadian.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here