RAKYAT diingatkan agar tidak mengamalkan politik berasaskan kepada emosi, sebaliknya perlu lebih mengutamakan kepentingan negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ketika ini wujud polemik membabitkan gesaan segelintir penyokong Pakatan Harapan (PH) yang mencabar UMNO supaya keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perbezaan pandangan dalam mana-mana parti adalah perkara biasa, namun pemimpin perlu menunjukkan teladan dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya.
“Kalau kita lihat dalam mana-mana parti, akan ada suara yang kecam ada yang ingin melakukan perkara A ada yang ingin melakukan perkara B tapi sebagai pemimpin, kita harus menjadi contoh untuk mengutamakan Malaysia.
“Jadi bagi saya, itu yang harus menjadi panduan terutama dalam semua pihak bukan hanya memimpin parti tapi memimpin negara,” katanya selepas menyertai acara Oxyenergy X Media Prima Merdeka Run di Balai Berita Media Prima, Bangsar di Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.
Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari; Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA, Datuk Mohd Efendi Omar dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen, Datuk Azhari Muhidin.
Menurut Fahmi, Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kekal utuh dan terus memberi tumpuan kepada usaha menangani cabaran ekonomi serta memperkukuh kedudukan negara di peringkat antarabangsa.
Mengulas dakwaan kononnya tindakan undang-undang digunakan untuk menekan pihak tertentu, Fahmi menegaskan kerajaan kekal konsisten dengan pendirian tidak mencampuri urusan badan penguat kuasa.
“Perdana Menteri dan juga pentadbiran sangat konsisten, kita tidak masuk campur dalam isu urusan badan-badan penguatkuasaan sama ada untuk memulakan ataupun menghentikan mana-mana isu, atau kes yang disiasat.
“Memang kalau kita teliti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri telah bertitah agar isu-isu melibatkan Tabung Haji dan Felda disiasat hingga ke lubang cacing,” katanya.
Ditanya sama ada perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran, Fahmi berkata, beliau yakin Kerajaan Perpaduan akan terus kekal kukuh sehingga tamat penggal.





