SEORANG penunggang motosikal maut digilis lori akibat cuba mengelak seorang pejalan kaki melintas, di Jalan Batang Kali-Ulu Yam di Hulu Selangor malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam ketika mangsa, seorang lelaki berusia 60 tahun, dipercayai cuba memotong sebuah lori melalui sebelah kanan jalan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden M Manimaran berkata, lori dipandu lelaki berusia 45 tahun itu dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk menghantar barang.
“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal itu cuba mengelak daripada melanggar seorang pejalan kaki yang sedang melintas jalan.
“Namun mangsa hilang kawalan dan terjatuh sebelum digilis lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Manimaran berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat trafik, Inspektor Khairul Salleh Abd Rahman di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.





