SEORANG wanita rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kelmarin kerana dikesan cuba menyeludup masuk kira-kira lapan kilogram (kg) putik ganja dianggarkan bernilai HK$1.6 juta (RM830,000) ke negara itu.
Kastam Hong Kong berkata, wanita berusia 33 tahun itu tiba di lapangan terbang berkenaan dari Bangkok sebelum ditahan ketika pemeriksaan kastam.
“Ketika pemeriksaan, pegawai kastam menemukan kira-kira 8kg disyaki ganja di dalam bagasi daftar masuknya.
“Wanita itu kemudian ditahan dan siasatan kes masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Kastam Hong Kong, pihaknya akan terus meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pengedaran dadah melalui analisis risikan.
Katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak terbabit dalam pengedaran dadah bagi mendapatkan habuan wang atau menerima tawaran pihak lain untuk membawa barangan terkawal keluar dan masuk Hong Kong.
Mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong, kesalahan mengedar dadah berbahaya boleh dihukum denda maksimum HK$5 juta (RM2.60 juta) dan penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Pada 30 Julai lalu, seorang lelaki Malaysia berusia 27 tahun ditahan selepas kira-kira 3kg ganja bernilai HK$600,000 (RM311,000) ditemukan dalam bagasi daftar masuknya selepas tiba dari Bangkok.
Sebelum itu, pada 16 Julai, seorang lelaki Malaysia berusia 19 tahun yang tiba dari Bangkok melalui Manila turut ditahan selepas kira-kira 11kg ganja bernilai HK$2 juta (RM1.04 juta) ditemukan dalam bagasi daftar masuknya.
Satu lagi kes membabitkan tangkapan rakyat Malaysia di Hong Kong direkodkan pada 9 Julai, dengan seorang lagi lelaki Malaysia berusia 19 tahun ditahan selepas tiba dari Kuala Lumpur melalui Singapura dengan kira-kira 3kg ganja bernilai HK$500,000 (RM260,000) di dalam bagasi miliknya.





