DUA premis perniagaan yang dikendalikan warga asing di Pasar Borong Kuala Lumpur diarah tutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa lesen dalam Operasi Bersepadu Tebah (Premis Perniagaan Kendalian Warga Asing) Siri 3 Tahun 2026, awal pagi semalam.
Operasi yang bermula jam 11 malam Khamis hingga 3 pagi Jumaat itu dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur.
Dalam operasi berkenaan, pemeriksaan dijalankan terhadap premis yang menjalankan perniagaan borong membabitkan buah-buahan, sayur-sayuran, makanan sejuk beku, barangan am serta lain-lain.
“Pemeriksaan mendapati terdapat premis yang beroperasi tanpa lesen, gagal mempamerkan lesen perniagaan, dikendalikan warga asing, melakukan halangan di laluan awam, tidak mempunyai lesen papan tanda selain melanggar syarat lesen yang ditetapkan.
“Susulan itu, dua premis dikenakan tindakan penutupan serta-merta mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Undang-Undang Kecil Iklan (WPKL) 1982 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya dalam kenyataan.
DBKL berkata, JIM dan PDRM turut memeriksa pekerja warga asing yang mengendalikan serta membantu operasi di premis-premis berkenaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.
Menurut DBKL, operasi bersepadu itu berjalan lancar dan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh semua pengusaha premis perniagaan.






