SEORANG penunggang motosikal warga emas maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena di Jalan Perusahaan Sungai Lokan 6, di Butterworth kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia 68 tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, kemalangan membabitkan lori kontena jenis Scania dan motosikal Honda EX5 di persimpangan jalan berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori terbabit dipercayai membelok ke kiri untuk memasuki persimpangan ketika mangsa yang bergerak seiring gagal mengelak kenderaan berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan motosikal mangsa melanggar bahagian hadapan sisi kiri lori.
“Akibat pelanggaran, penunggang motosikal cedera parah dan dikejarkan ke HSJ, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian, polis menahan pemandu lori berusia 54 tahun bagi membantu siasatan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.





