PENGUNJUNG yang bercuti di pantai peranginan di Tanjung Asam dan Teluk Bayu di Gertak Sanggul, Pulau Pinang dinasihatkan agar lebih berwaspada berikutan kewujudan ikan ketuka dan spesies hidupan laut berbisa lain yang aktif menyerang mangsa ketika air surut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz memberitahu, situasi itu dijangka berlarutan hingga Mac berikutan keadaan air laut yang surut jauh.

“Bagi yang berhajat untuk mandi-manda di Tanjung Asam, Teluk Bayu atau di laut tempat yang air laut berlumpur diminta lebih berhati-hati dan elakkan mandi ketika air sedang surut kerana ketika waktu itu ikan ketuka dan spesies-spesies hidupan laut yang berbisa ini aktif berhampiran tepian pantai,” katanya menerusi hantaran Facebook semalam.
Peringatan itu susulan kejadian kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas disengat ikan ketuka iaitu spesies ikan pari kecil di Pantai Tanjung Asam, petang Sabtu lepas.
Media melaporkan ibu kanak-kanak itu Siti Aishah Zainal Abidin, 37, berkata, anaknya Zaeed Khan Wazir Khan tiba-tiba menjerit kesakitan ketika mandi di pantai berkenaan dan pada awalnya dia menyangka anaknya terkena batu tajam kerana darah mengalir keluar daripada kaki kanan kanak-kanak itu.
Mangsa dibawa ke klinik berhampiran sebelum dinasihati doktor untuk terus dihantar ke hospital.
Azrul Mahathir turut menzahirkan rasa simpati dan mendoakan Zaeed cepat sembuh.


