Zara Qairina: Peguam Negara tidak cadang dakwa individu lain, pantau media sosial pertikain prosiding inkues

JABATAN Peguam Negara (AGC) tidak bercadang mendakwa individu lain berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir sehingga prosiding inkues di Mahkamah Koroner selesai.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata hanya lima pelajar perempuan yang didakwa berhubung kes berkenaan.

“Justeru, setakat ini tiada cadangan untuk menuduh mana-mana suspek sehingga prosiding inkues selesai. Selepas prosiding berkenaan selesai, kita akan melihat semula dan tindakan akan dilakukan berdasarkan hasil inkues.

“Sekarang ini pakar patologi yang memberi keterangan pada prosiding inkues yang akan berlangsung sebagaimana ditetapkan,” katanya lapor Berita Harian.

Belia berkata demikian di Kota Bharu selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam Program Kampung Angkat Madani Jabatan Peguam Negara 2025, hari ini.

Mengenai media sosial yang mempertikaikan prosiding inkues kes kematian pelajar berkenaan, Mohd. Dusuki berkata, AGC akan meneliti dan memantau perbuatan itu sama ada menghina mahkamah atau tidak.

Sehubungan beliau meminta meminta masyarakat tidak membuat komen keterlaluan sebelum prosiding berkenaan selesai.

“Harapan kami kepada masyarakat, biarlah proses inkues berjalan dahulu sehingga selesai, jangan terburu-buru meninggalkan komen berhubung prosiding yang masih berlangsung.

“Buat masa ini, pakar patologi sedang memberi keterangan, jadi orang luar tidak perlu pertikai sebaliknya tunggu prosiding selesai,” katanya.

Ditanya sama ada tempoh prosiding inkues Zara Qairina akan dipercepat, Mohd Dusuki berkata, ia ditetapkan untuk tempoh tertentu dan akan berlangsung mengikut perancangan.

“Alhamdulillah, setakat ini prosiding inkues berjalan dengan baik dan kita tidak boleh melakukan prosiding inkues ini terlalu cepat, biarlah berlangsung sebagaimana proses.

“Kita mahu prosiding ini selesai dengan baik supaya tiada polemik berterusan ditimbulkan sehingga mendapat persepsi negatif,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img