10,000 penumpang dijangka guna LRT3 Shah Alam pada hari pertama operasi

SISTEM Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam dijangka mencatatkan anggaran kira-kira 10,000 penumpang pada hari pertama pelancaran operasinya hari ini, berdasarkan sambutan menggalakkan orang ramai sejak perkhidmatan itu bermula pada jam 6 pagi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Amir Hamdan berkata, ia berdasarkan tinjauan penggunaan perkhidmatan pada awal pagi serta jangkaan peningkatan jumlah penumpang sepanjang waktu puncak sehingga tamat operasi hari ini.

AMIR Hamdan (tengah) bercakap kepada pemberita pada Sesi Tinjauan Media Sempena Hari Pertama Operasi Laluan Shah Alam hari ini. GAMBAR: Astro Awani

Menurut beliau, setakat ini operasi berjalan lancar dengan kekerapan tren ketika waktu puncak dikekalkan sekitar lapan minit tanpa sebarang isu teknikal yang serius.

“Saya melihat dari sudut jangkaan, mungkin boleh mencapai 5,000 hingga 10,000 penumpang untuk hari ini sahaja.

“Kita akan lihat semula sebab selepas tamat waktu puncak petang nanti apabila ramai orang akan mencuba laluan ini ketika pulang dari kerja.

“Dari segi kekerapan tren, lebih kurang lapan minit ketika waktu puncak. Alhamdulillah, kita lihat keadaan masih terkawal dari semua sudut termasuk fasiliti,” katanya dalam sidang media Sesi Tinjauan Media Sempena Hari Pertama Operasi Laluan Shah Alam hari ini.

Projek LRT3 Laluan Shah Alam yang membabitkan pelaburan sebanyak RM16.63 bilion itu merupakan antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.

Sebelum ini, Prasarana memaklumkan Laluan Shah Alam turut disokong oleh 40 bas perantara yang beroperasi di 323 hentian membabitkan 13 laluan khusus, dengan tambang hanya RM1 bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.

Amir berkata, pihaknya akan terus memantau corak penggunaan penumpang sebelum membuat sebarang penambahbaikan terhadap operasi, termasuk dari segi kekerapan tren.

Menurutnya, peningkatan jumlah penumpang pada hari-hari awal operasi akan dijadikan penanda aras bagi menentukan keperluan menambah kapasiti perkhidmatan.

“Kita akan terus pantau apabila penggunaan mesin dan tren semakin meningkat dengan jumlah penumpang yang lebih ramai. Itu adalah kebiasaan apabila sesuatu laluan baru dibuka.

“Buat masa ini, kita akan kekalkan kekerapan sedia ada. Jika perlu, kita akan letakkan tren tambahan atau tren kosong di laluan Kelana Jaya atau Kajang untuk mengambil penumpang,” katanya.

Mengulas cadangan memperkenalkan koc wanita, Amir berkata, perkara itu masih di peringkat penelitian dan akan diputuskan berdasarkan hasil kajian serta statistik penggunaan penumpang.

“Buat masa ini belum lagi. Kita perlu mengkaji keperluan tersebut melalui tinjauan dan melihat kepada statistik penggunaan.

“Perlu diingat tren laluan Shah Alam ini hanyalah tren tiga gerabak. Jika ada coach wanita, ia mungkin diletakkan di tengah, tapi buat masa ini kami belum ada sasaran untuk memperkenalkannya,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img