Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh diperintah bela diri atas 46 pertuduhan rasuah RM69,600

MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini memerintahkan bekas Ketua Polis Daerah Temerloh membela diri atas 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 antara 2019 hingga 2023.

Hakim Sazlina Safie membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Azhar Mohd Yusoff, 56, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Sazlina berkata, semua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan adalah teratur serta sah di sisi undang-undang dan tidak melanggar Seksyen 164 Kanun Tata Cara Jenayah atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah mendapati dan memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi kesemua 46 pertuduhan utama yang dihadapi orang kena tuduh (OKT) di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah turut memutuskan bahawa peruntukan anggapan di bawah Seksyen 53 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 terpakai terhadap OKT,” katanya.

Mahkamah menetapkan 19 Ogos untuk prosiding pembelaan dengan Mohd Azhar memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Ifa Sirrhu Samsudin manakala Mohd Azhar diwakili peguam Datuk Bob S Arumugam serta M Athimulan.

Pada 7 September 2023, Mohd Azhar mengaku tidak bersalah atas 46 pertuduhan menerima wang antara RM100 hingga RM5,600 yang dipindahkan secara dalam talian ke akaun miliknya daripada beberapa individu dan syarikat yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan ketika bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Temerloh antara Mac 2019 hingga Januari 2023.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img