Selangor FC kesal insiden penyokong di Jambatan Angkat

SELANGOR FC meluahkan rasa amat kesal susulan insiden membabitkan segelintir penyokong pasukan bola sepak pasukan itu di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu sebelum aksi Liga Super 2025/2026 menentang Terengganu FC baru-baru ini.

Menerusi kenyataan rasmi, kelab itu memandang serius kejadian berkenaan dan menegaskan tindakan individu terbabit tidak mencerminkan nilai serta semangat sebenar komuniti penyokong Selangor.

Menurut Selangor FC, insiden itu sama sekali tidak mewakili budaya sokongan positif yang selama ini dibina dan dijunjung tinggi oleh kelab serta penyokong setia mereka.

Pada masa sama, Selangor FC turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu atas tindakan tegas dan profesional yang diambil bagi memastikan ketenteraman awam serta keselamatan orang ramai sepanjang insiden tersebut.

Kelab itu turut menegaskan pendirian tegas bahawa mereka tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk tingkah laku yang melanggar undang-undang atau mengancam keselamatan awam.

“Kelab tidak berkompromi dan menyelar sebarang bentuk tingkah laku yang melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan orang ramai.

“Justeru, kelab percaya bahawa insiden ini akan dijadikan iktibar oleh semua pihak dan berharap setiap penyokong akan sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab, saling menghormati, serta bersatu padu demi memupuk budaya sokongan bola sepak yang lebih positif dan sihat.

“Selangor FC sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana kumpulan penyokong dan akan terus memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa dalam menjamin keselamatan dan memperkasakan kemeriahan sukan bola sepak tempatan,” menurut kenyataan Selangor FC hari ini.

Selain itu, Selangor FC turut menggesa penyokong agar sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab, saling menghormati serta bersatu padu dalam memberi sokongan kepada pasukan.

Menurut kenyataan itu lagi, budaya sokongan yang positif dan sihat adalah elemen penting dalam usaha memartabatkan bola sepak tempatan.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 33 individu dipercayai penyokong Selangor dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam untuk mendapatkan perintah reman susulan kejadian itu.

Semua yang ditahan dibawa ke mahkamah kira-kira jam 10.15 pagi dan difahamkan mereka dipercayai melakukan perbuatan itu di sepanjang laluan Jambatan Angkat Kuala Terengganu kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin dilaporkan berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan mengikut kesalahan berkaitan penyalahgunaan dan memiliki dadah.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img