Warga emas amang seksual dua kanak-kanak perempuan, dipenjara 8 tahun

WARGA emas dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli turut memerintahkan tertuduh yang berusia 64 tahun itu dikenakan dua sebatan atas kesalahan berkenaan, lapor Berita Harian.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Bagi pertuduhan pertama, antara jam 6 petang hingga 8 malam pada 22 November 2023 tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun di hadapan koridor bilik PSV, Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi mangsa berusia 7 tahun di hadapan kelas 1 Ibnu Zubair di sekolah, tarikh dan waktu yang sama.

Kedua-dua tempat kejadian ketika itu berfungsi sebagai pusat pemindahan sementara (PPS), manakala tertuduh serta mangsa adalah penghuni di pusat berkenaan.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula dari tarikh sabitan serta satu sebatan manakala pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan yang dijalankan secara berturutan selepas selesai menjalani hukuman bagi kes pertama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanim Ayim, manakala tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img