SEBANYAK 92 penduduk terpaksa dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) apabila kediaman mereka rosak akibat dilanda ribut dan pokok tumbang di Taman Damai di Simpang, Taiping petang ini.
Turut terlibat, Masjid Pengkalan Aur, Kg Sentosa, Taman Damai, Taman Ria, Taman Indah, Kg Pasir dan sepanjang jalan masuk dari Batu 2 setengah menuju Taman Kaya dan Taman Indah di Changkat Jering yang rosak teruk akibat dilanda ribut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), Mohd Nasrul Menhat berkata, kesemua mangsa terdiri daripada 10 keluarga terpaksa berlindung di PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya yang dibuka mulai jam 6.30 petang tadi.
“Terdapat lebih 10 keluarga yang tidak dapat memasuki kediaman masing-masing berikutan kerja pembersihan rumah tidak dapat dilaksanakan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang memaklumkan setakat jam 8 malam ini, seramai 92 mangsa daripada 10 keluarga terbabit ditempatkan di PPS berkenaan.


