POLIS menahan seorang lelaki yang bertindak secara berbahaya berpaut pada kereta yang bergerak di jalan raya dipercayai berpunca akibat perselisihan faham dengan bekas isteri di Seri Alam, Johor kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan suatu video tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki berpaut di luar kereta yang bergerak di jalan raya.
Beliau berkata, video berkenaan dimuat naik oleh pengendali akaun media sosial Komuniti Bandar Seri Alam yang berdurasi 11 saat.
Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam mengesahkan menjalankan siasatan ke atas kejadian terbabit yang berlaku di kawasan Seri Alam pada jam 3.50 petang kelmarin.
Katanya, hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara lelaki terbabit dengan seorang wanita yang juga bekas isterinya.
Beliau berkata, siasatan mendapati pada jam 3.30 petang sebelum itu, pertelingkahan antara mereka bermula di sebuah pasar raya di Bandar Seri Alam.
“Lelaki terbabit kemudian bertindak memanjat atas bonet dan berpaut di hadapan kereta yang dipandu wanita itu secara perlahan sejauh kira-kira dua kilometer.
“Kemudian sekumpulan lelaki dipercayai rakan kepada lelaki itu juga bertindak menghalang kereta terbabit.
“Mereka didapati memeras ugut dengan merampas barangan milik wanita itu dan memecahkan cermin kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, bertindak atas maklumat, seorang lelaki warga tempatan lingkungan 30 tahun ditahan pada jam 2 pagi ini di Jalan Persisiran Seri Alam, Masai, bagi membantu siasatan.
Menurutnya, tahanan reman dibenarkan oleh Mahkamah Johor Bahru selama tujuh hari bermula hari ini hingga 7 Mac bagi siasatan lanjut.
Katanya, hasil semakan mendapati suspek tiada sebarang rekod lampau kesalahan jenayah.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif ketamin.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana sengaja melakukan pemerasan yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melakukan perbuatan khianat terhadap harta benda, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu dengan sengaja menggunakan dadah, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000,” katanya.
Beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kes itu.
Menurutnya, kerjasama masyarakat amat dihargai untuk membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti dan adil.
“Sekiranya orang awam memiliki maklumat berkaitan kejadian, diminta salurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Arif Azlan Ali Ahmad di talian 011-618 63876 atau talian hotline IPD Seri Alam di 07-386 4222,” katanya.
Media semalam melaporkan seorang lelaki mengundang maut apabila berpaut pada sebuah kereta yang bergerak di laluan di Bandar Seri Alam hingga menjadi tumpuan orang ramai.
Berdasarkan video tular, lelaki itu didapati berpaut di kereta jenis Suzuki Swift biru sebelum terjatuh.


