POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada sebarang kes atau rampasan gula-gula strawberry quick yang didakwa mengandungi dadah seperti yang tular dalam media sosial ketika ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, maklumat sama sebenarnya pernah tular sejak awal tahun 2025 sebelum kembali tular ketika ini.
Beliau berkata, semakan telah dibuat di seluruh negara pada 5 Februari 2025 dan terkini pada semalam.
“Mengikut rekod PDRM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disahkan tidak terkesan maklumat atau rampasan gula-gula seperti ini di semua kontinjen.
“Gambar yang digunakan dipercayai bertujuan menakutkan remaja dan ibu bapa supaya lebih berhati-hati,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Bagaimanapun katanya, pada masa yang sama penyebaran maklumat tidak sahih itu boleh menggusarkan masyarakat.
Terdahulu tular dalam media sosial hantaran amaran mengenai dakwaan wujud dadah baharu dikenali sebagai strawberry quick yang disamarkan dalam bentuk gula-gula dan diedarkan kepada pelajar di sekolah.
Hantaran itu mendakwa bahan berkenaan menyerupai gula-gula berperisa strawberi seperti pop rocks, selain berbau manis dan boleh menyebabkan kanak-kanak yang termakan dikejarkan ke hospital dalam keadaan teruk.
Ia juga dikatakan hadir dalam pelbagai perisa lain seperti coklat, mentega kacang, cola, ceri, anggur dan oren, selain orang ramai diminta memberi amaran kepada anak-anak supaya tidak menerima gula-gula daripada individu tidak dikenali.


