SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Chai Jin Shern atau James Chai tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes ARM yang kini sedang giat dijalankan.
Menurut kenyataan media SPRM, siasatan berkaitan kes ARM kini berada pada tahap aktif dengan pengumpulan bukti dan rakaman percakapan saksi sedang dilaksanakan.
“Setakat ini, seramai 17 saksi telah dirakam percakapan melibatkan pegawai daripada Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“SPRM juga telah mengambil dokumen penting termasuk perjanjian serta dokumen sokongan dan dijangka akan merakam percakapan lapan lagi saksi, termasuk individu yang berada di luar negara,” katanya kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan tersebut, James Chai dikenal pasti sebagai individu penting yang diperlukan bagi membantu siasatan.
SPRM sebelum ini telah mengeluarkan Notis Mengesan Individu terhadap beliau pada 4 Mac 2026. Bagaimanapun, melalui surat wakil bertarikh 9 Mac, beliau memaklumkan tidak dapat hadir memberi keterangan atas alasan kos penerbangan dan kekangan kerja.
Susulan itu, SPRM memberikan lanjutan tempoh sehingga semalam untuk beliau hadir, namun beliau sekali lagi gagal berbuat demikian.
Sehubungan itu, SPRM menetapkan tempoh baharu selama dua minggu untuk James Chai tampil dan menyatakan kesediaan menanggung kos penerbangan bagi membolehkan beliau pulang ke Malaysia membantu siasatan.
“Sekiranya beliau masih gagal hadir selepas diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, SPRM akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk INTERPOL bagi mengesan dan memastikan kehadiran beliau,” katanya.
SPRM menegaskan semua individu yang dipanggil wajib memberi kerjasama dan menekankan bahawa tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang, selain siasatan akan diteruskan secara profesional dan berasaskan bukti.


