SEORANG wanita yang menawarkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi (braces) secara haram dijatuhi hukuman denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di akhir kes pembelaan, semalam.
Nurul Syafiqaa Ali, 25, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh selepas dia didapati bersalah mengikut Subseksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor diketuai Dr Hanif Mohd Suffian melakukan serbuan ke atas sebuah premis milik tertuduh pada jam 2.30 petang pada 6 April 2021.
Tindakan diambil susulan maklumat wujud klinik pergigian swasta tidak berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1988 terletak di Puchong Prima, Selangor.
Ketika serbuan, pasukan serbuan mendapati seorang pelanggan wanita berbaring di atas katil sementara tertuduh sedang menjalankan prosedur memasang pendakap gigi.
Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh gagal mengemukakan sebarang dokumen pendaftaran klinik pergigian swasta yang sah di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
Malah, pemeriksaan lanjut mengesahkan tertuduh juga tidak mempunyai Perakuan Pendaftaran mahupun Perakuan Pengamalan Tahunan semasa (PPT) sebagai seorang pengamal pergigian yang bertauliah.
Pihak berkuasa turut menemukan dan merampas pelbagai peralatan klinikal termasuk light cure machine serta bahan-bahan pergigian yang digunakan untuk rawatan haram itu.


